Pages

Friday 7 December 2012

Ada Ubi Ada Batas..

Pepatah Melayu mengatakan "ada ubi ada batas, ada masa dapat balas", tapi dalam konsep aku "ada ubi ada batas, sampai masa ALLAH yang balas". Itulah pepatah Melayu aku pegang dalam hidupku kerana seperti yang aku belajar semasa di SHARODZ dulu, setiap kebaikan akan mendapat rahmat daripada ALLAH, dan setiap kejahatan yang kita buat akan mendapat laknat daripada ALLAH.

Sesungguhnya, hanya ALLAH yang mengetahui apa yang tersimpan di dalam hatiku ini. Sememangnya semua orang terutama mak dan abah risau dengan keputusanku ingin kembali kepada suamiku. Mereka tidak mahu anaknya ini terus dianiaya oleh suamiku yang masih tidak berubah untuk menjadi lebih bertanggungjawab ke atas diriku ini.

Sebenarnya, aku pun tidak pasti sama ada aku mampu lagi untuk mengharungi kehidupan berumah tangga dengan suamiku. Yang aku tahu, aku hanya ingin mendapatkan kembali hak aku sebagai isterinya.

Malah, aku sudah bersedia untuk diceraikan olehnya pada bila-bila masa pun. Ini kerana aku tidak mahu lagi aku terus disakiti dan dijadikan boneka dalam kehidupan suamiku. Aku sememangnya masih merasakan suamiku hanya terpaksa kembali kepadaku kerana dia sendiri tidak berani untuk melepaskanku. Ini kerana perkahwinan kami adalah keputusan kami sendiri. Maka, sekiranya dia yang putuskan, dia sendiri akan malu di atas kesilapan dirinya sendiri.

Bagi aku, untuk memikirkan aku akan bahagia dengannya pada masa akan datang hanya merupakan igauan atau harapan yang cukup sukar untuk aku capai. Namun begitu, sekiranya telah ditentukan ALLAH aku akan mendapat kebahagiaan dengan suamiku sekarang ini, hanya ALLAH yang dapat menjadikannya nyata. Aku redha dengan ketentuanNYA. Yang aku harapkan ALLAH akan mengasihani aku dan melindungi aku daripada terus disakiti, dianiaya atau dikhianati oleh suamiku sendiri.

Akhir sekali, aku mohon aku diberi kekuatan iman untuk menghadapi ujian ini dan kesabaran yang tinggi untuk aku melaluinya serta ketenangan hati dan mental supaya aku tidak akan tersasar daripada landasan agama yang sebenar-benarnya. Amin.

No comments:

Post a Comment