Pages

Thursday 17 January 2013

Aku & Suami sedang menuju bahagia..

Sudah lama aku tidak update blog ni. Aku sibuk menyelesaikan masalah rumahtanggaku dan mencuba untuk menapak ke arah kehidupan yang lebih baik. Alhamdulillah selepas perjumpaan kami berdua di mahkamah, akhirnya kami telah mencapai persetujuan untuk mencuba memulakan semula kehidupan kami dengan sebaik-baiknya selama tempoh 3 bulan ini seperti yang tercatat dalam taklik pada sijil nikah. Aku akan cuba menjadi isteri yang terbaik kepada suamiku dan suamiku juga akan cuba untuk menjadi suami yang terbaik untuk diriku. Malah, kami akan meneruskan perubatan secara Islam dengan Ustaz Ibrahim bin Kamsan untuk mengubati santau yang dihidapi suamiku. Aku juga mula menyertai kelas senamrobik dan minum Herbalife secara berterusan. Semoga usaha aku untuk menguruskan badan ini akan berjaya dan menambat hati suamiku hingga akhir hayat kami berdua. Amin.

Friday 4 January 2013

Jay Chou - Simple Love

Video lagu yang aku suka... "Simple Love" daripada Jay Chou.. Sesungguhnya cinta itu mudah tetapi untuk mengharunginya memerlukan kekuatan luar biasa supaya DUA HATI dapat bersatu (",).

Sabar Menghadapi Gangguan

Sememangnya ujian ALLAH tiada siapa yang tahu bila ia akan bermula dan bila ia akan berakhir. Tapi sebagai hambaNYA kita perlu redha untuk menghadapinya dengan hati yang tabah dan sabar. "Sabar adalah sebahagian daripada iman". Selama ini, perkataan 'sabar' sentiasa meniti daripada bibir semua orang tetapi adakah kita mengetahui maksudnya dengan sebenar-benarnya. 'Sabar' adalah perkara yang aku pelajari dalam menghadapi kemelut rumahtangga kami. Aku tidak menyangka aku dapat menghadapi keadaan yang runcing ini dengan tenang dan sabar. Malah aku menyedari betapa aku mempunyai sahabat-sahabat yang terbaik seperti Kak Odah, Kak Sal, Kenkawan Bikers, Non, Imah, Esma, Fazli, Kak Nurli, Khairi, Kak Shidah dan Puan Nik yang banyak membantu aku mengharungi ujian ini dengan penuh kesabaran. Selain itu, aku juga memiliki ibu bapa dan adik-beradik yang sentiasa menyokong keputusanku daripada belakang walaupun kadang-kala keputusanku sentiasa berubah mengikut keadaan. Yang paling penting, ALLAH sentiasa bersamaku kerana hanya padaNya, aku mendapat kekuatan iman dan hidayah untuk membantu aku membuat keputusan yang terbaik untuk diriku.

Ujian ALLAH ini mengajar aku supaya 'Sabar' menghadapi gangguan rumahtangga yang bukan sahaja secara lahiriah tetapi juga batiniah. Gangguan secara lahiriah ialah gangguan manusia yang ingin meruntuhkan rumahtanggaku hanya kerana ingin mendapatkan kesenangan diri sendiri tanpa memikirkan impak kepada diri orang lain. Tetapi pepatah Melayu, "kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi". Apabila adanya 'give and take' antara dua manusia boleh menyebabkan diriku menghadapi tekanan yang kuat sehingga aku terlupa sama ada aku penyebabnya. Alhamdulillah dengan hidayah ALLAH, aku menjumpai jawapan sebenarnya. Dengan KEMAAFAN aku dapat mencari ketenangan diri yang aku tidak pernah alami sepanjang hidupku ini dan kami suami-isteri dapat kembali hidup bersama dalam situasi yang lebih baik.

Selain itu, gangguan secara halus yang paling menakutkan kerana perkara ini menggunakan perantaran jin/syaitan. Kami terpaksa menghadapinya dengan bantuan Ustaz Ibrahim bin Kamsan bagi menangani masalah ini. Untuk itu, sabar dan iman adalah kunci utama untuk kami melawan makhlus halus yang sedang mengganggu kesihatan kami.

Kesimpulannya, sabar dan iman membantu kami mengahadapi ujian ALLAH dengan sebaik-baiknya. Ia juga membawa kami berdua untuk lebih mengenali ALLAH s.w.t. Semoga kami dapat bersama-sama menuju ke jalan bahagia dunia dan akhirat. Amin.

Yang Ditunggu Sudah Tiba

Semalam tengahari, surat keramat daripada JAIM Jasin telah tiba di rumah. Aku tiba-tiba pening kepala memikirkan macamana nak memberitahu perkara ini kepada suami aku. Bukannya apa, aku risau dia tidak mahu menghadiri sesi kaunseling yang akan diadakan oleh JAIM. Ini kerana pada kali pertama, dia pernah menyalahkan aku kerana merujuk masalah rumahtangga kami ke JAIM. Tetapi, ini kali kedua rumahtangga kami bergolak dengan keadaan yang teruk, lagipun pada masa tu dia sendiri dah berkata sudah tawar hati kepadaku. Maka, aku mengambil keputusan untuk menyelesaikan dengan cara yang baik di JAIM. Sekarang ini keadaan sudah semakin reda, tetapi aku tetap mahu kami berdua ke JAIM untuk menghadiri kaunseling. Ini kerana aku tidak mahu suamiku mengulangi kesilapan yang sama dan menyakiti hatiku dengan teruk sekali. Selain itu, aku mahu dia berani membuat keputusan YA atau TIDAK dan mengaku kesalahannya dengan sejujurnya. Walaupun dia sudah banyak berubah, hatiku tetap berkata-kata sama ada dia benar-benar ikhlas kembali kepadaku dan ingin hidup bersama sehingga akhir hayat. Kadang-kala apa yang dilihat oleh mata tidak sama apa yang tersirat di dalam hati manusia.

Aku juga ingin bertanya sama ada dia memang sudah bersedia sebenar-benarnya untuk menjadi suami dan ayah yang mithali kepada keluarga kami. Sememangnya dia hendak melaksanakan tanggungjawabnya dan mencintai serta menyayangi aku tanpa syarat. Entahlah, aku hanya boleh mendapatkan jawapan itu semasa sesi kaunseling sahaja. Ini kerana, kalau aku bertanya sekarang pastinya suami aku takkan memberikan jawapan tersebut. Selain itu, aku tidak mahu dia hanya nak bersama aku semasa dalam keadaan susah, tetapi apabila sudah senang aku dilupakan begitu sahaja. Aku takut kalau keadaan itu berlaku lagi, aku mungkin akan membencinya seumur hidup aku.

Tuesday 1 January 2013

Selamat Tahun Baru 2013

Kedatangan tahun baru 2013 ini amat aku nantikan. Kenapa yer? {",) Ini kerana aku mengharapkan tahun 2013 akan memberikan sinar baru dalam kehidupan kami berdua. Selain itu, semasa aku melafazkan doa awal tahun, aku memohon kepada ALLAH segala yang telah berlaku pada tahun 2012 akan menjadi iktibar dan panduan dalam kehidupan kami supaya kami dapat melayari bahtera rumahtangga dengan harmoni dan bahagia.

Aku juga mengharapkan keadaan ekonomi kami akan lebih baik pada tahun ini. Diharapkan jualan baju dan barangan lain melalui internet akan dapat menghasilkan pulangan yang lumayan kepada kami berdua. Aku juga berharap suami aku akan disahkan jawatan dan dapat dinaikkan pangkat pada tahun hadapan. Selain itu, kami berdua dapat pergi ke Vietnam untuk membeli barangan untuk dijual pada hari raya tahun ini.

Di samping itu, aku berdoa kami akan dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah. Ini kerana aku amat merindui kehadiran anak yang menjadi amanah ALLAH sebagai penyeri rumahtangga kami. Namun begitu, takdir ini adalah ketentuan ALLAH jua.

Aku juga berharap kemarau yang melanda dalam rumahtanggaku dan hubungan antara ibu bapaku dan ibu bapa mertuaku akan kembali jerneh seperti sediakala. Sememangnya pahit untuk ditelan tragedi sedih dan berdarah yang melanda rumahtangga kami tapi aku yakin dengan kasih sayangNya yang mampu membuatkan kami bertahan dan mengharungi cabaran rumahtangga kami.

Semoga ALLAH memberkati usaha kami berdua. Amin.