Pages

Friday 4 January 2013

Yang Ditunggu Sudah Tiba

Semalam tengahari, surat keramat daripada JAIM Jasin telah tiba di rumah. Aku tiba-tiba pening kepala memikirkan macamana nak memberitahu perkara ini kepada suami aku. Bukannya apa, aku risau dia tidak mahu menghadiri sesi kaunseling yang akan diadakan oleh JAIM. Ini kerana pada kali pertama, dia pernah menyalahkan aku kerana merujuk masalah rumahtangga kami ke JAIM. Tetapi, ini kali kedua rumahtangga kami bergolak dengan keadaan yang teruk, lagipun pada masa tu dia sendiri dah berkata sudah tawar hati kepadaku. Maka, aku mengambil keputusan untuk menyelesaikan dengan cara yang baik di JAIM. Sekarang ini keadaan sudah semakin reda, tetapi aku tetap mahu kami berdua ke JAIM untuk menghadiri kaunseling. Ini kerana aku tidak mahu suamiku mengulangi kesilapan yang sama dan menyakiti hatiku dengan teruk sekali. Selain itu, aku mahu dia berani membuat keputusan YA atau TIDAK dan mengaku kesalahannya dengan sejujurnya. Walaupun dia sudah banyak berubah, hatiku tetap berkata-kata sama ada dia benar-benar ikhlas kembali kepadaku dan ingin hidup bersama sehingga akhir hayat. Kadang-kala apa yang dilihat oleh mata tidak sama apa yang tersirat di dalam hati manusia.

Aku juga ingin bertanya sama ada dia memang sudah bersedia sebenar-benarnya untuk menjadi suami dan ayah yang mithali kepada keluarga kami. Sememangnya dia hendak melaksanakan tanggungjawabnya dan mencintai serta menyayangi aku tanpa syarat. Entahlah, aku hanya boleh mendapatkan jawapan itu semasa sesi kaunseling sahaja. Ini kerana, kalau aku bertanya sekarang pastinya suami aku takkan memberikan jawapan tersebut. Selain itu, aku tidak mahu dia hanya nak bersama aku semasa dalam keadaan susah, tetapi apabila sudah senang aku dilupakan begitu sahaja. Aku takut kalau keadaan itu berlaku lagi, aku mungkin akan membencinya seumur hidup aku.

No comments:

Post a Comment